Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekiranya ekonomi negara terus berkembang, kerajaan akan menyediakan perkhidmatan dan kebajikan yang lebih baik terhadap mereka. 

“Seramai 1.62 juta penjawat awam ini merupakan tulang belakang kepada kerajaan. Tanpa dokongan, sokongan dan idea daripada mereka, kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakan dan menjayakan segala dasar negara. 

“Kita tidak bercadang mengecilkan saiz penjawat awam ini, sebaliknya meningkatkan lagi jumlah penjawat awam seiring dengan perkembangan ekonomi negara yang terus berkembang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Bajet 2018 Bersama Rakyat: Penjawat Awam di hadapan lebih 5,000 penjawat awam seluruh negeri Perak di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu di sini hari ini. 

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan. 

Tambah Perdana Menteri, pemimpin pembangkang jelas menghina penjawat awam dengan menyamakan mereka dengan kucing kurap dan monyet. 

“Beberapa pemimpin pembangkang dalam ucapan mereka sesekali tidak menghormati malah menghina penjawat awam dengan menyamakan mereka dengan kucing kurap dan monyet. 

“Dalam laporan Institut Pulau Pinang turut menyebut kerajaan pusat hanya memerlukan 430,000 penjawat awam dan ini bermakna pemimpin pembangkang akan mengurangkan lebih separuh daripada bilangan penjawat awam sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya. - K! ONLINE