Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia akan turut mengambil kira kesannya kepada peneroka berikutan kerajaan tidak mahu golongan itu terasa beban jika bayaran elaun sara hidup dikurangkan daripada RM1,500 kepada RM1,000.

"Seperti yang sedia maklum kita menghadapi kekangan kewangan sekarang ini tapi kita juga tidak mahu menjejaskan pendapatan peneroka*kita akan meneliti cadangan itu buat peneroka FELDA, selain kesannya kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan khas bersama pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Sebuah media dalam talian semalam melaporkan bahawa peneroka Felda setuju bayaran elaun sara hidup dikurangkan kepada RM1,000, namun mereka meminta agar kerajaan menambah RM500 sebagai bayaran wang ehsan bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan itu. - Bernama