Ketua Setiausahanya Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, kementerian itu akan bertemu dengan penyelaras dasar kereta nasional ketiga, Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi, mengenai cadangan itu. 

"Kita perlu melihat keupayaan dan kapasiti mereka. Buat masa sekarang, kita tidak mempunyai had khusus (mengenai bilangan vendor). Kita perlu melihat pada kadar penerimaan.

"Sudah tentunya akan ada pemain yang lebih besar. Beri kami sedikit masa untuk meneliti (cadangan itu)," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sidang Kemuncak Pemasaran Global 2018, di sini, hari ini. 

Sementara itu, semasa pelancaran sidang kemuncak tersebut, Menteri MED Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata kementerian tersebut mahu menggalakkan lebih banyak segmen, terutamanya daripada kumpulan berpendapatan rendah untuk menjadi sebahagian daripada keusahawanan di Malaysia.

Ucapan beliau dibacakan oleh Wan Suraya.

Mengenai Dasar Keusahawanan Nasional yang sedang dirangka, Wan Suraya berkata lapan isu setempat telah dikenal pasti, susulan perbincangan dengan usahawan di Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah, Perlis dan Melaka.

Beliau berkata kementerian itu akan bertemu dengan usahawan di Selangor hari ini manakala usahawan dari negeri-negeri lain dalam tempoh terdekat ini. 

"Kita mengambil maklum isu-isu ini dan akan melihat bagaimana untuk menanganinya. Tahun depan, kita berharap dapat meneliti dasar tersebut yang tidak disemak semula dengan lebih terselaras dalam tempoh beberapa tahun lepas," katanya. 

Kira-kira 800 peserta mengambil bahagian dalam sidang kemuncak pemasaran sehari itu yang dianjurkan oleh Institut Keusahawanan Negara. - Bernama