Ini akan dilaksanakan de­ngan mengukuhkan pentadbiran negara berdasarkan kepada prinsip rule of law dan pemisahan kuasa seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Patik berharap negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baharu dapat dibangunkan dan dimajukan dengan lebih baik berban­ding sebelum ini,” katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan, kedudukan agama Islam serta keistimewaan orang Melayu dan anak Sabah dan Sarawak serta kepentingan kaum-kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar termasuk dalam bentuk hala­ngan kepada perdagangan bebas serta ketidakstabilan dalam mata wang global boleh memberi kesan kepada negara.

Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa melakukan pelbagai strategi di peringkat domestik dan antarabangsa untuk meng­hadapi cabaran-cabaran tersebut.

Dr. Mahathir turut memaklumkan bahawa usaha-usaha kerajaan untuk memulihkan kedudukan kewangan dan ekonomi negara serta melunaskan janji-janji yang telah diberikan kepada rakyat semakin berhasil.

Pada masa yang sama, beliau kata, pelbagai inisiatif di bawah visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah pun mula dilaksanakan bagi memastikan kekayaan negara dapat diagihkan dengan menyeluruh.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-62 pada 31 Ogos lalu yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih telah menyerlahkan ke s­epakatan dan perpaduan rak­yat pelbagai kaum di negara ini.

Dr. Mahathir turut merakamkan ucapan sembah tahniah kepada Al-Sultan Abdullah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka semalam. – Bernama