Beliau berkata, kerajaan tidak mahu mana-mana individu menjadi mangsa sekaligus memastikan tindakan tersebut bukan disebabkan langkah penjimatan kos yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

"Kita akan meneliti perkara ini kerana tidak mahu sesiapa menjadi mangsa dalam usaha untuk mengurangkan kos pentadbiran negara," katanya selepas merasmikan majlis Persidangan Perwakilan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad (UPUS) Semenanjung Malaysia Kali Ke-21 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu 52 kakitangan kerajaan yang digugurkan ketika mengikuti kursus khas PTD.

Ini termasuk empat pegawai kontrak yang secara automatik kehilangan pekerjaan manakala baki 48 pegawai diarahkan kembali ke jawatan lama mereka dengan segera.

Perkara tersebut disahkan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Datuk Suriani Ahmad berikutan ia diputuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jelas Suriani, keputusan itu dilakukan bersama Intan dan JPA selepas mendapati markah diperolehi peserta adalah lebih rendah dari jangkaan mereka sepanjang kursus PTD tersebut. - K! ONLINE