Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, rundingan berkenaan mengambil sedikit masa kerana ia mahu kadar baharu itu tidak membebankan mana-mana pihak sama ada rakyat atau kerajaan.

"Di pihak Kerajaan Selangor kami ada mengemukakan beberapa cadangan kerana kami mahu pastikan kelompok tertentu tidak terjejas, tapi pada masa yang sama juga kita mahu pastikan kewangan kerajaan negeri tidak terbeban," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri anjuran Invest Selangor di sini hari ini.

Tambah Amirudin sudah tiba masanya kadar tarif air di Selangor disemak kerana ia bakal mendatangkan beban kepada kewangan kerajaan negeri.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata, kadar baharu tarif air di Selangor sepatutnya diumumkan pada Jun atau bulan ini. 
 
Media sebelum ini melaporkan tarif air di beberapa buah negeri akan dinaikkan bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna. Ini juga kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh kira-kira 20 tahun. - Bernama