Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata bantuan terbabit hanya bagi dihulurkan kepada dua keluarga itu selepas operasi mencari dua anggota tentera terbabit ditamatkan.

“Kami perlu melihat apa yang akan berlaku dalam beberapa hari lagi, jadi selepas itu kita dapat lihat dari segi bantuan yang dapat diberikan oleh kerajaan (Sarawak).

“Sekarang ini usaha sedang dibuat bagi mencari mereka, itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan,” katanya selepas merasmikan Program Kepimpinan Wanita anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di sini, hari ini.

Fatimah mengulas mengenai kehilangan dua anggota TDM, iaitu Koperal David Edmund Rapi, 39, berasal dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers, 25, dari Bau ketika bertugas di kawasan Operasi Op Pejarak di Pulau Perak.

Kementerian Pertahanan mengesahkan kehilangan kedua-dua mereka dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) berpangkalan di Kem Bukit Crowder, Perlis dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu juga memaklumkan TDM dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sudah menjalankan pencarian pada Sabtu lalu. - Bernama