Beliau berkata, hukuman ke atas kesalahan itu patut juga ditingkatkan kerana undang-undang sedia ada dilihat tidak mampu mengekang pemburu haram terutamanya warga asing mengaut hasil daripada hidupan marin yang dilindungi walaupun undang-undang sekarang menetapkan hukuman yang berat. 

"Di Sabah, penyu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar, Sabah.

"Denda ke atas kesalahan itu tidak kurang daripada RM50,000 sehingga RM250,000 dan penjara  maksimum  lima tahun," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Dalam kes terbaharu Rabu lepas, Angkatan Tugas Bersama 2, Angkatan Tentera Malaysia menahan  tiga warga asing yang menangkap dan membunuh penyu-penyu di perairan Pulau Ligitan dekat Semporna, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita. 

Lee juga menggesa kerajaan untuk melihat keperluan undang-undang seragam yang melindungi penyu di seluruh Malaysia kerana negeri-negeri pada masa ini menguatkuasakan peraturan mereka termasuk ke atas  perdagangan haram dan mengharamkan pengambilan telur penyu.

"Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dalam analisis dan pengalaman di lapangan  menunjukkan  undang-undang negeri mengenai penyu tidak mencukupi dan tidak mampu melindungi  penyu  yang diburu untuk daging dan kulitnya dalam pasaran gelap antarabangsa," ujarnya. - Bernama