Beliau berkata lebih banyak penekanan akan diberikan untuk meningkatkan celik kewangan dan perancangan dalam kalangan belia berikutan kira-kira 47 peratus menghadapi masalah hutang kad kredit yang tinggi.

"Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga merupakan elemen penting untuk dimasukkan ke dalam pelan itu.

"Kita perlu memupuk 'budaya melabur', walaupun jika ia hanya melibatkan jumlah wang yang kecil. Kementerian bercadang untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti dan penggiat korporat untuk menggalakkan belia melabur dalam pasaran," katanya kepada pemberita di luar InvestSmart Fest (ISF) 2018 di sini hari ini.

Menurut kajian yang dijalankan dalam kalangan 1,000 responden, melabur terus menjadi keutamaan yang rendah dalam kalangan millennial, dengan hanya 23 peratus daripada responden melabur lebih 20 peratus daripada pendapatan bulanan mereka dan 40 peratus lagi melabur kurang daripada 10 peratus.

Kajian itu turut menunjukkan jumlah pelabur muda naik pada 2017, dan akaun aktif yang berumur antara 18 dan 25 tahun dan antara 26 dan 35 tahun hanya menyumbang 22.5 peratus daripada jumlah penyertaan runcit Bursa Malaysia.

Mengenai Bajet 2019, Syed Saddiq berkata beliau akan menumpukan kepada menambah baik program TVET yang perlu dipacu oleh industri.

Beliau berkata jika program TVET dirangka dengan baik, ia akan meningkatkan pekerjaan belia dan taraf hidup kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

"Misalnya, Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan mencatatkan lebih 90 peratus pekerjaan dalam kalangan graduan mereka, lebih tinggi daripada graduan universiti," kata Syed Saddiq. 

Pada Mei, laporan daripada MIDF Research menunjukkan pengangguran dalam kalangan belia pada 2017 sebanyak 10.8 peratus, tiga kali lebih tinggi daripada (jumlah) kadar pengangguran sebanyak 3.4 peratus. 

Laporan itu turut menunjukkan peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan belia disebabkan peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan yang mendadak dan menyumbang 40.5 peratus daripada jumlah pengangguran. - Bernama