Beliau berkata kerja-kerja membaik pulih kawasan berkenaan giat dijalankan sejurus bermulanya musim tengkujuh di pantai timur pada penghujung November lalu.

"Buat masa kini, kerajaan negeri dan kerajaan pusat memperuntuk RM 2 juta untuk membaiki kawasan sepanjang 500 meter ini. Apa yang hairan, kawasan  pantai ini sangat t eruk terjejas berbanding kawasan lain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata beliau telah meminta Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Terengganu untuk membuat satu kajian bagi mengenal pasti punca hakisan itu.

"Saya  dimaklumkan bahawa dalam masa terdekat ini, Pakar Kejuruteraan Pantai akan melihat permasalahan ini," katanya. 

Beberapa kawasan Pantai Tanjung Gelam mengalami hakisan teruk sehingga sebuah rumah rosak akibat ombak besar yang mencecah lebih 2 meter.

Sementara itu, peniaga ikan celup tepung Mohd Non Nawang, 61, bimbang dengan hakisan yang berlaku di kawasan itu.

"Saya merupakan orang yang terawal berniaga di kawasan ini. Dahulu jarak kedai dari pantai sejauh 600 meter tapi sekarang ia lebih kurang 60 meter...duduk di kedai pun sudah boleh terkena biasan air pantai.

"Sejak hakisan Ahad lalu, pelanggan juga semakin berkurangan ke kedai saya. Saya mohonlah jasa baik kerajaan negeri membaik pulih kawasan ini kerana di sinilah saya mencari rezeki," katanya. - Bernama