Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, amaun RM220 juta itu merupakan pembayaran balik wang ehsan daripada sumber royalti petroleum yang dipinjam kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.28 bilion untuk membiayai projek perumahan sebelum ini.

"Kerajaan Persekutuan telah berjanji untuk melunaskannya menerusi 10 kali pembayaran dan telah lapan kali dibayar pada bulan Januari setiap tahun sejak tahun 2011.

"Sepatutnya hanya tinggal dua kali pembayaran sehingga tahun 2020 namun kerajaan negeri Terengganu masih belum menerimanya untuk tahun ini sehingga kini," katanya ketika menjawab soalan lisan Bazlan Abd. Rahman (BN-Batu Rakit) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-14 di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu telah menerima surat penangguhan pembayaran tersebut daripada Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas Kementerian Kewangan, penangguhan pembayaran pada tarikh yang masih belum dimaklumkan itu disebabkan kekangan kewangan kerajaan Persekutuan. - K! ONLINE