Kon Yeow berkata, usaha ke arah pemansuhan tol perlu dikaji dengan teliti antaranya dari segi impak komersial, terma-terma kontrak dan pulangan kewangan kepada syarikat konsesi.

"Kerajaan Persekutuan perlu kaji impak kewangan seperti bayaran pampasan kepada syarikat konsesi dan kos-kos penyelenggaraan berdasarkan kontrak tempoh konsesi tol Jambatan Pulau Pinang yang masih berbaki 20 tahun," katanya ketika menjawab soalan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk) pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Pulau Pinang ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata, pemansuhan tol di Jabatan Pulau Pinang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan memandangkan konsesi belum tamat.

Walaupun pemansuhan tol jambatan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan Pulau Pinang menyokong penuh langkah itu, katanya.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri sedang berusaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang dan antara langkah yang diambil ialah mengalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti Perkhidmatan 'Bridge Express Shuttle Transit' (BEST) yang diperkenalkan sejak 2011.

"Perkhidmatan BEST telah dikembangkan kepada dua laluan utama iaitu di kawasan kilang Bayan Lepas dan di Komtar," katanya. - Bernama