Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, persetujuan tersebut adalah hasil pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam penyelesaian jangka panjang yang komprehensif ke arah kemampanan industri perkhidmatan bekalan air di negeri tersebut. 

Katanya, kementerian sendiri menerima beberapa aduan mengenai masalah gangguan bekalan air yang berlaku terutama di Kawasan Perindustrian Gebeng, daerah Raub, Lipis dan bandar Triang. 

"Isu bekalan air di Pahang amat kritikal dengan pelbagai masalah belum dapat diselesaikan sehingga terdapat sesetengah kawasan mengalami gangguan air sehingga dua minggu. 

"Pahang tidak mempunyai kewangan mencukupi bagi mengatasi masalah itu dan kita akan membantu sebaiknya walaupun Pahang dikuasai oleh pihak pembangkang," katanya ketika ditemui pemberita selepas program bicara minda bertajuk Kita di Abad 21: Tak Selesai Lagi Isu Air di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15 di sini hari ini.

Menurut beliau, kekerapan gangguan bekalan air itu disebabkan ketidakupayaan untuk merawat air mentah kerana kekeruhan yang tinggi, paip retikulasi tidak diselenggara dan usang menyebabkan kejadian paip pecah dan bocor serta gangguan bekalan elektrik. 

Sehubungan itu, Xavier menjelaskan kementerian telah meminta Pahang mengenalpasti nilai aset mereka dalam industri bekalan air sebelum kementerian  menggunakan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi membantu dan menyokong mereka melalui kewangan. 

"Langkah itu penting bagi penaiktarafan sistem bekalan air bagi memastikan kualiti air yang dihasilkan dapat dilakukan sebaiknya selain mengurangkan peratusan air tidak berhasil," katanya.  - K! ONLINE