Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Mohamed Namazie Ibrahim berkata, beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Perancis menguatkuasakan larangan merokok di dalam kenderaan persendirian dengan mengenakan denda bagi mereka yang merokok jika ada kanak-kanak atau wanita hamil berhampiran.

“Ini mungkin memerlukan pembabitan kementerian lain, bagaimanapun kami berpendapat ia perkara penting yang perlu ditangani.

“Kami juga mengharapkan usaha berterusan dijalankan untuk meningkatkan kesedaran berkaitan kesan berbahaya asap daripada tembakau dan asap basi di sekolah, supaya tabiat yang sihat dapat disemai lebih awal di kalangan generasi muda yang akan menjadi penyumbang kepada ekonomi negara di masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian itu komited untuk menggubal, dalam masa terdekat, Akta Kawalan Tembakau secara berasingan, yang mewartakan semua tempat awam sebagai Kawasan Larangan Merokok dengan senarai tempat yang terhad untuk perokok menghisap rokok. - Bernama