Beliau berkata, antara faktor menyebabkan kira-kira 40 peratus atau lebih kurang 2,400 siswazah menganggur adalah kerana peluang pekerjaan yang tidak sesuai untuk golongan itu.

"Hasil kajian menunjukkan bilangan siswazah menganggur meningkat dan salah satu sebabnya adalah ketidaksepadanan kemahiran.

"Tidak dinafikan kerajaan sebelum ini mewujudkan banyak peluang pekerjaan tetapi lebih sesuai bagi pekerjaan berkemahiran rendah hingga sederhana, bukan untuk siswazah," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, hari ini. 

Beliau berkata kerjasama lebih rapat perlu diwujudkan antara agensi pendidikan termasuk institusi pendidikan awam dan swasta bersama pihak industri dalam usaha mewujudkan peluang pekerjaan yang sesuai kepada siswazah.

Selain itu, katanya sistem pendidikan negara juga perlu dilakukan transformasi, dan institusi pengajian tinggi perlu diperkasa dengan memberi lebih banyak autonomi dan tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai siswazah yang cekap teknologi serta mempunyai pelbagai kemahiran.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama