Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, bagaimanapun kerajaan negeri perlu mendengar cadangan penuh daripada tokoh perniagaan terkenal itu sebelum memberi kata putus.  

"Kerajaan negeri mengamalkan sikap mesra pelabur dan sentiasa mengalu-alukan jika ada pihak yang berminat namun kita perlu melihat dan memperincikan cadangan yang dibawa secara holistik dan menyeluruh. 

"Kita tahu pembinaan lapangan terbang melibatkan kos yang tinggi jadi sudah pasti kita mahu mendengar terlebih dahulu cadangan beliau dan apa sumbangan yang perlu daripada kerajaan negeri," katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 

Mohd. Sharkar mengulas laporan media hari ini, bahawa pengasas konglomerat itu telah menyatakan kesediaan untuk membina lapangan terbang dengan perbelanjaan sendiri di pulau peranginan itu yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.1 bilion hingga RM1.2 bilion. - Bernama