Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, beliau berpandangan kebanyakan program lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah tidak mencapai manfaat dan ia seolah-olah telah dijadikan sebagai acara tahunan. 

"Banyak sekolah memohon program lawatan sambil belajar sedangkan kita sedia maklum ia tidak melibatkan semua pelajar. Ada mahu ke Langkawi di Kedah, Sabah, Sarawak, malah ada mahu ke Indonesia. 

"Kadang-kadang tidak ramai murid pergi. Guru lebih ramai. Saya hanya akan beri (peruntukan) jika sekolah itu menunjukkan prestasi cemerlang sebagai satu bentuk anugerah atau inisiatif kepada mereka," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Modal Insan Terbilang HEM dan Kokurikulum, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Perasmian Gelanggang Futsal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini hari ini. 

Aminuddin berkata, permohonan untuk mengadakan program lawatan sambil belajar melibatkan peruntukan yang besar dan wang sebanyak itu lebih wajar digunakan untuk meningkatkan prestasi pendidikan dan kokurikulum pelajar. 

Jelas beliau, sebilangan sekolah memohon peruntukan sehingga RM20,000 untuk mengadakan program tersebut sedangkan dana itu milik rakyat yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan teramai. - K! ONLINE