Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, UPKO perlu sedar bahawa kerajaan negeri hari ini bukanlah kerajaan gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UPKO semata-mata tetapi, ia ditubuhkan hasil kerjasama antara Warisan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan UPKO.

Menurut Hajiji, keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu membuktikan Warisan tidak mampu membentuk sebuah kerajaan tanpa sokongan PKR, DAP dan UPKO.

"Umum mengetahui Warisan tidak mempunyai cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri tanpa bergabung dengan PKR dan DAP serta UPKO.

"Sehubungan itu, dakwaan Pemangku Presiden UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau mengatakan tiada 'Malaya' dalam kerajaan negeri Sabah kini adalah silap kerana PKR dan DAP itu sendiri sememangnya parti daripada Semenanjung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hajiji yang merupakan Ahli Parlimen Tuaran, hakikatnya kerajaan negeri Sabah sekarang tidaklah bebas daripada parti-parti Malaya kerana terdapat pemimpin dalam kalangan PKR dan DAP diberi tanggungjawab memegang jawatan sebagai menteri dan pembantu menteri di negeri ini.

Terdahulu baru-baru ini, Madius merangkap Pembantu Ketua Menteri Sabah mendedahkan alasan membawa keluar UPKO daripada UMNO kerana enggan membiarkan parti berkenaan berterusan menjadi mangsa buli parti daripada Semenanjung. - K! ONLINE