Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, beliau dan pihak yang terlibat dengan RTC Rembau akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu pada Isnin ini.

Jelas  beliau, RTC Rembau sebelum ini diuruskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, namun kementerian itu membuat keputusan menyerahkannya kepada kerajaan negeri.

"Kita akan kaji semula. Saya tiada masalah untuk melihat tentang kos operasinya. 

"Bagaimanapun kita perlu pastikan ia mendapat sambutan yang baik," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di sini hari ini.

Semalam, sekumpulan kecil penduduk berhimpun di hadapan Masjid Jamek An-Nur di Rembau bagi menyatakan bantahan penutupan RTC Rembau.

Aminuddin pada Rabu lalu mengesahkan RTC di Rembau akan ditutup dan RTC baharu dibuka di Jempol kerana lokasi yang lebih strategik untuk penduduk luar bandar.

Terdahulu, beliau pada sidang media hari ini menjelaskan Kerajaan Persekutuan melakukan penstrukturan semula RTC ekoran tidak mendapat sambutan daripada rakyat.

Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan tidak lagi mampu menampung program kerajaan lama yang tidak menguntungkan dan menggunakan wang rakyat untuk kepentingan politik itu. - K! ONLINE