Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Abdul Aziz Bari berkata, tindakan tegas termasuk mengheret pelombong tersebut ke mahkamah perlu diambil supaya kebajikan penduduk setempat dan kelestarian alam dapat dijaga dengan baik.

"Hasil siasatan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas mendapat aduan daripada penduduk pada 11 Jun lalu mendapati aktiviti perlombongan itu sememangnya menjadi punca kepada pencemaran apabila air daripada pemprosesan bahan galian itu dibuang ke dalam sungai. 

"Bagaimanapun, laporan penuh daripada setiap agensi terlibat termasuk JAS, Jabatan Mineral dan Geosains serta Pejabat Tanah dan Daerah Kampar akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan terhadap syarikat tersebut dilakukan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak lombong emas tersebut di Kampung Sahom di sini hari ini.

Kosmo! pada 5 Ogos lalu melaporkan, kira-kira 100 orang penduduk Kampung Sahom berkumpul bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap aktiviti perlombongan emas haram di sebuah ladang kelapa sawit di kampung tersebut yang menyebabkan pencemaran air berlaku di Sungai Kepar.

Menurut Aziz, setakat ini, kerajaan negeri bagaimanapun masih belum mengetahui bahan mineral yang diperolehi di ladang kelapa sawit. 

"Keputusan ujian makmal daripada Jabatan Mineral dan Geosains masih belum diperolehi dan apa yang pasti, bahan galian tersebut sememangnya berharga," katanya. 

Sementara itu, Ketua Kampung Sahom, Mohd. Lot Abdul Hamid berkata, penduduk kampung akan terus memantau sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan alam sekitar terutamanya melibatkan Sungai Kepar, Sungai Dipang dan Sungai Rias sekali gus menjejaskan industri pelancongan di kampung tersebut. 

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) Perak, Sajeeda Muhammad berpuas hati dengan tindakan segera yang diambil kerajaan negeri menghentikan operasi perlombongan emas haram tersebut yang telah mencemarkan alam sekitar. - K! ONLINE