Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, bagi mengatasi masalah setinggan di Sabah khususnya di sekitar Sepanggar dan kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, kerajaan negeri harus memainkan peranan dalam menyediakan perumahan kepada masyarakat. 

"Sehubungan itu, kerajaan negeri wajar mencari, membeli dan menyediakan tanah bersesuaian sebelum menyerahkan kepada pihak KPKT untuk tujuan pembinaan rumah kos rendah.

"Inisiatif (menyediakan tanah) ini dilihat dapat membantu mengurangkan kos pembinaan rumah kerana tanah-tanah tersebut akan diberikan secara percuma kepada KPKT oleh pihak kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Setinggan di Kawasan Sepanggar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman dan Datuk Bandar, Yeo Boon Hai. 

Zuraida turut memberitahu, inisiatif penyediaan tanah oleh pihak kerajaan negeri merupakan salah satu agenda yang akan dimasukkan dalam Dasar Perumahan Negara baharu tahun ini.

Direkodkan, sebanyak 30,000 setinggan di kawasan DBKK manakala 20,000 pula di Sepanggar. - K! ONLINE