Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya percaya kebakaran yang melibatkan kawasan seluas 1.2 hektar angkara khianat oleh pihak penceroboh dan tidak menolak kemungkinan dilakukan warga asing.

Beliau berkata, sehingga semalam usaha memadam kebakaran tapak pelupusan haram itu sedang giat dilakukan oleh pihak bomba serta beberapa agensi berkaitan.

“Buat masa ini, pasukan bomba masih berada di situ (tapak pelupusan sampah haram) untuk memastikan api dipadamkan sepenuhnya.

"Kita sedang dalam proses mengenalpasti individu terbabit selain melihat sekiranya terdapat penglibatan orang asing yang meneroka kawasan tanah gambut itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Parlimen Klang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Pada majlis tersebut,  seramai lapan orang penduduk di Telok Gong menerima surat kelulusan tanah masing-masing seluas 2.5 hektar bagi tujuan pertanian, penyampaian sijil kepada bekas ketua kampung serta sumbangan kerusi roda kepada dua penerima orang kurang upaya.

Menurut Amirudin lagi, kebakaran tapak pelupasan sampah itu mengambil tempoh lama untuk dipadamkan berikutan kawasan tersebut adalah tanah gambut yang menyebabkan ia cepat merebak selain faktor cuaca agak panas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh berkaitan kebakaran di kawasan tersebut daripada Jawatankuasa Bencana di peringkat negeri.

“Laporan berhubung kebakaran akan diperolehi dalam masa terdekat dan kita akan mengetahui pemilik tanah terbabit. Namun, maklumat awal diterima terdapat ramai pemilik tetapi kita akan menyiasatnya.

“Selain memadamkan kebakaran, tanggungjawab kita ialah menyelesaikan isu pemilikan tanah dan penerokaan tanpa kawalan yang pastinya melibatkan pelbagai agensi,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kebakaran tapak perlupusan sampah haram di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar.

Kebakaran itu mula dikesan pukul 8 pagi Khamis lalu dipercayai dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, tanah tersebut adalah milik persendirian dan telah dijadikan tapak pelupusan sampah bagi bahan kitar semula dan penebat wayar yang dikisar. - K! ONLINE