Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, langkah awal itu dilakukan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPKj) dengan membuat kolam dan sekatan aliran bagi memastikan cecair itu tidak terus mengalir ke sungai berdekatan yang terletak 500 meter dari lokasi pembuangan bahan kimia itu. 

Katanya, analisa oleh Lembaga Air Selangor mendapati terdapat 92 bahan kimia dalam sampel air yang diambil dari kolam itu. 

"Kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melantik Kualiti Alam Sdn. Bhd. dengan perbelanjaan dipersetujui sebanyak RM486,000 untuk aktiviti pembersihan yang bermula semalam. 

"Sebanyak 60 tong kosong dan 18 tan air tercemar telah diangkut keluar untuk dilupuskan oleh Kualiti Alam pada hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Ethylene Chloride merupakan bahan kimia yang digunakan dalam industeri perbuatan polyvinyl chloride (PVC) dan dipercayai boleh memberikan kesan teruk kepada kulit sehingga didedahkan secara terus. 

Terdahulu akhbar melaporkan Gabungan Prihatin Semenyih (GPS) membuat laporan polis bagi menggesa pihak berwajib segera menangani isu pencemaran bahan kimia yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di kawasan Sungai Lalang, Semenyih di sini.

Loy Sian memberitahu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Selangor menerima maklumat awal kejadian tumpahan bahan kimia itu tempat lapang di luar kawasan kilang di lokasi Jalan 1, Kampung Sungai Lalang, Semenyih sebelum siasatan lanjut dilakukan JAS. 

Tambah beliau, siasatan awal mendapati terdapat lebih kurang 172 tong yang disyaki berisi pelbagai kimia usang atau bahan kimia telah tamat tempoh di kawasan tersebut. 

"Sebanyak 10 tong telah sengaja ditebuk dan diterbalikkan bagi mengeluarkan cecair disyaki bahan kimia tersebut ke alur air berdekatan. 

"Kesannya, mengakibatkan bau yang kuat terhasil di sekitar lokasi tapak pembuangan sehingga boleh dihidu sejauh 300 meter dari lokasi kejadian. Perumahan terdekat adalah di Taman Semenyih dan Kampung Pasir yang terletak 500 meter dari tempat pembuangan itu," katanya. 

Jelas Loy Sian, beberapa agensi kerajaan termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, MPKj, Air Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor telah digerakkan lokasi sejak semalam. 

"Semakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat telah mengenalpasti tanah tapak penempatan tong berisi bahan kimia itu adalah tanah rizab kerajaan. 

"Pasukan forensik PDRM dan JAS kini sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengesan sebarang unsur sabotaj dan mendapatkan maklumat terperinci sehingga suspek dapat ditangkap untuk didakwa," katanya. - K! ONLINE