Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin (gambar kecil) berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan semua agensi terlibat bagi mendapatkan penyelesaian.

"Bagi pihak saya, perjumpaan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar akan diadakan bagi membincangkan berhubung masalah itu.

"Kita akan cuba mencari masalah sebenar yang menyebabkan hakisan menjadi bertambah buruk dan seterusnya mendapatkan cara penyelesaian terbaik mengikut keadaan semasa yang berlaku di sana (Kuala Nenasi) pada ketika ini," ujar beliau semasa dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Kosmo! edisi hari ini berhubung masalah hakisan pantai yang semakin melenyapkan daratan Kampung Nelayan dan Kampung Tanjung Batu di Kuala Nenasi, Pekan dekat sini.

Masalah hakisan yang berlaku sejak 2016 itu menyebabkan runtuhan tebing di sepanjang Pantai Kuala Nenasi yang kini bertambah kepada kira-kira 3 kilometer berbanding 2 kilometer pada tiga tahun lalu.

Lebih memburukkan keadaan, hakisan tersebut menyebabkan beberapa rumah nelayan, bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kee Wha serta Pusat Latihan Giat Mara Nenasi serta calet percutian yang diusahakan penduduk kini semakin terdedah kepada risiko lebih teruk.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar menambah, beliau yakin kerajaan Pusat juga akan melakukan tindakan segera sekiranya dimaklumkan mengenai masalah membabitkan keselamatan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar seperti dihadapi penduduk Kuala Nenasi.

Sementara itu, wakil penduduk Kampung Nelayan dan Kampung Tanjung Batu, Edde Firdaus Abdul Aziz, 39, berkata, buat masa ini mereka menyusun kayu kering di sepanjang pantai tersebut untuk menghalang ombak daripada terus menyebabkan lebih banyak runtuhan.

"Kami juga berikhtiar dan melakukan segala yang termampu. Amat diharap pihak kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bekerjasama untuk menyelamatkan kampung kami daripada musnah akibat hakisan," katanya. - K! ONLINE