Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbuatan melarang wanita muslim yang bekerja di sesebuah hotel memakai tudung merupakan satu bentuk diskriminasi serta tidak menghormati agama Islam di Malaysia.

"Jika (pengusaha hotel) tidak mahu menghormati budaya dan agama di negara ini, mereka tidak perlu menjalankan perniagaan di sini. 

"Mereka boleh pergi ke Amerika Syarikat atau Perancis yang mengeluarkan arahan seperti itu (tidak dibenarkan memakai tudung)" katanya pada sidang akhbar Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di sini hari ini. 

Seramai 1,001 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga kurang berkemampuan di DUN Rantau menerima sumbangan bantuan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut dan beg sekolah pada majlis itu. 

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menindas dan mendiskriminasi wanita bertudung bekerja dalam industri perhotelan. 

Isu itu timbul apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini mendedahkan tentang aduan oleh kakitangan hotel berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung, 

"Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha hotel (di Negeri Sembilan) yang melakukan iskriminasi seperti itu," kata Mohamad. - K! ONLINE