Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kekerapan kejadian banjir kilat yang terpaksa ditanggung oleh rakyat terutama penduduk di kawasan-kawasan rendah. 

"Kita telah memohon peruntukan dari kerajaan persekutuan sebanyak RM10 juta untuk memperbaiki pintu kawalan air di Sungai Melaka yang tidak dapat berfungsi sepenuhnya. 

"Bagaimanapun, kelulusan itu mengambil masa dan kerajaan negeri akan mencari jalan mendahulukan kos pembaikan tersebut kerana setakat ini empangan tersebut hanya dapat mengeluarkan air kira-kira 30 peratus sahaja," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam di sini hari ini.

Turut hadir melawat mangsa banjir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob. 

Tambahnya, masalah banjir yang disebabkan oleh empangan tersebut dijangka dapat diatasi sepenuhnya dalam tempoh enam bulan akan datang. 

Beliau bagaimanapun berkata, pembaikan pintu kawalan air itu hanyalah sebahagian daripada usaha penyelesaian isu banjir manakala projek tebatan banjir yang melibatkan kos RM270 masih berada pada peringkat reka bentuk. 

Mengulas lanjut, Adly memberitahu, jumlah mangsa banjir yang tinggi turut disebabkan lokasi penempatan di kawasan-kawasan rendah dan perlaksanaan projek-projek pembangunan. 

"Justeru, kita akan dapatkan maklum balas daripada wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat untuk mengenal pasti penempatan di kawasan-kawasan rendah yang sering dilanda banjir kilat untuk tujuan pemindahan ke lokasi lebih sesuai. 

Jelasnya, kerajaan negeri akan menilai semula projek-projek pembangunan untuk mengawal kejadian banjir kilat.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali dalam kenyataannya hari ini berkata, mangsa banjir di negeri ini mencatatkan seramai 1,117 orang dengan enam PPS dibuka di Alor Gajah dan dua di Melaka Tengah setakat pukul 12 tengah hari tadi. 

Antara kawasan terjejas di Alor Gajah adalah di Kampung Gadek, Paya Datuk, Bukit Balai, Bukit Tambun, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah.

Manakala bagi daerah Melaka Tengah, kawasan terlibat di Taman Tamby Chik Karim, Taman Merdeka Jaya, Taman Krubong Jaya, Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanah Merah, Kampung Sungai Badau dan Kampung Tampoi. - K! ONLINE