"Sekarang, banyak syarikat sedang dalam proses pensijilan, yang mengambil masa beberapa bulan. Pada masa ini, daripada 5.85 juta hektar keluasan tanaman sawit, hanya 30 peratus memperoleh sijil MSPO. Kerajaan-kerajaan negeri juga diminta memberikan kerjasama untuk tujuan tersebut," katanya.

Dengan memastikan industri minyak sawit Malaysia mencapai pematuhan 100 peratus MSPO, ia memberi mesej kepada Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain tentang usaha kerajaan dan pemain industri dalam memulihara kawasan hutan, serta komited ke arah kelestarian dan kemampanan industri sawit, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat bersama 11 dewan perniagaan dan persatuan perdagangan untuk promosi kelapa sawit sempena kempen 'Sayangi Minyak Sawitku', di sini, Teresa berkata, prospek industri sawit negara di EU dijangka kembali pulih susulan pelantikan ahli Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menerusi pilihan raya yang akan diadakan pada 23-26 Mei ini.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan anggota Parlimen Eropah dan Majlis Eropah pada Oktober depan bagi mempromosi minyak sawit negara.

"Saya sekali lagi akan bertemu ahli Parlimen dan anggota Suruhanjaya Eropah yang baharu untuk berkongsi mengenai usaha Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan serta inisiatif pensijilan oleh kerajaan, selain usaha dalam melindungi hutan oleh penggiat industri.

"Kami berharap dapat menyakinkan EU bahawa mereka tidak mempunyai sebab untuk menghentikan stok biofuel memandangkan kita menjalankan pengeluaran minyak sawit secara mampan," katanya.

Ditanya Malaysia masih bercadang membuat aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sekiranya EU terus melakukan diskriminasi terhadap minyak sawit, Kok berkata ia masih dalam rancangan, tetapi perlu membincangkannya secara terperinci dengan Indonesia yang dijangka pada Julai ini berikutan pilihan raya yang diadakan di republik itu.

Mengenai perjumpaan dengan dewan perniagaan dan persatuan perdagangan itu, Teresa berkata, 11 persatuan tersebut mempunyai hubungan perdagangan dengan China dan ia adalah platform untuk mempromosi minyak sawit negara.

"Setiap tahun, lebih 30 pameran diadakan di China untuk mempromosi produk Malaysia oleh dewan perniagaan dan persatuan ini. Pihak kami berminat untuk menyertai mereka dalam usaha promosi minyak sawit negara.

"Kami berpendapat negara China mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk membeli lebih banyak minyak sawit dari Malaysia dan kami tidak melakukan kerja yang mencukupi untuk memasuki pasaran China," katanya. - Bernama