Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemansuhan AVRF akan dikuatkuasakan dalam tempoh dua bulan bagi membolehkan semua urusan pindaan kaedah dan persiapan sistem pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disempurnakan.

Jelasnya, berdasarkan peraturan semasa, kenderaan yang dikecualikan duti import termasuk kenderaan binaan tempatan akan dikenakan AVRF dan cukai jalan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Bagi kenderaan import yang terlibat dalam pengecualian duti import dan cukai jalan telah dikecualikan daripada sebarang bayaran fi termasuk AVRF.

“Keadaan itu telah mewujudkan persaingan yang tidak seimbang dalam kalangan pembina kenderaan tempatan yang telah dikenakan AVRF dan cukai jalan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

AVRF merupakan fi pendaftaran yang dikenakan ke atas kenderaan bermotor dengan kaedah perkiraannya berdasarkan kepada nilai sesuatu barangan yang digunakan untuk pembuatan kenderaan tersebut dan kenderaan terlibat telah dikecualikan daripada duti import dan duti eksais.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kementerian juga mendapati terdapat kewajaran untuk memansuhkan AVRF bagi kenderaan jenis treler dan semi treler binaan tempatan bagi membolehkan pembuat kenderaan dapat bersaing secara kompetitif dengan pengedar kendaraan import.

Jelasnya, pemansuhan fi itu juga akan melibatkan pengurangan hasil kepada kerajaan kira-kira RM19 juta setahun.

“Bagaimanapun, ia dapat ditampung semula menerusi sumber tidak langsung daripada pengurangan kos menjalankan perniagaan dan pembangunan industri binaan kenderaan tempatan.

“Berdasarkan rekod semasa, terdapat 399 bengkel membina kenderaan di negara ini dan dengan pemansuhan AVRF akan memberi kesan positif kepada industri pembinaan tempatan bersaing dengan kenderaan import,” katanya. - K! ONLINE