Malah, katanya pada masa ini kerajaan berusaha menyediakan lebuh raya tanpa tol seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta Lebuhraya Utama Tengah atau Central Spine Road (CSR) yang melalui Pahang ke Kelantan bagi memenuhi keperluan tanpa membebankan rakyat.

"Kerajaan juga mengkaji struktur dan juga kadar tol melalui pelbagai inisiatif seperti penangguhan kenaikan kadar tol yang dilaksanakan beberapa kali dan seterusnya melaksanakan pemansuhan beberapa tol seperti yang telah kerajaan Barisan Nasional (BN) lakukan sekarang.

"Ketika ini, kerajaan juga telah banyak melakukan beberapa penambahbaikan terhadap terma-terma dalam perjanjian konsesi bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi, kepentingan kerajaan dapat dipelihara dan pada masa sama, berlaku adil kepada syarikat konsesi berbanding dengan terma perjanjian di bawah legasi kepimpinan yang terdahulu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Rosnah berkata demikian ketika menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai ) mengenai pemansuhan tol yang bukan mustahil dilaksanakan kerajaan memandangkan empat buah tol sudah dimansuhkan iaitu Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Selangor; Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan Eastern Dispersal Link, Johor. - Bernama