Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, cadangan itu masih dalam peringkat kajian malah kerajaan akan melihat terlebih dahulu kesesuaiannya untuk menggantikan jet pejuang berkenaan.

"Aset pertahanan milik negara memang sudah usang dan perlu diganti. Namun, kita akan lihat kesesuaiannya (untuk menggantikan jet pejuang sedia ada dengan versi baharu).

"Ia (langkah pembelian jet pejuang baharu) bergantung kepada kedudukan kewangan negara dan rundingan (antara Malaysia dan Rusia mengenai pembelian itu)," katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan kira-kira 12,000 peserta acara larian 'Run For Peace 2019' anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia di sini, hari ini.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia amat berhati-hati untuk berbelanja terlalu banyak wang menggantikan kedua-dua jenis jet pejuang buatan Rusia dengan versi baharu itu.

Mahathir turut menyifatkan penggunaan wang yang terlalu banyak untuk membeli jet pejuang mahal amat tidak produktif kepada negara kerana Malaysia tidak mahu berperang dengan mana-mana pihak.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai perkembangan siasatan insiden kematian melibatkan seorang komando semasa melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah pada Rabu lepas, Mohamad berkata, siasatan masih dijalankan namun yakin siasatan tidak mengambil masa terlalu panjang.

"Perkara ini (siasatan mengenai insiden kematian seorang komado) masih dalam siasatan. Ia adalah suatu kemalangan. Sekejap saja siasatan itu, tidak lama," ulasnya ringkas.

Dalam insiden itu, Mej. Mohd. Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah. – Bernama