Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia merupakan sebahagian daripada komuniti ASEAN dan oleh itu ia tidak mahu menimbulkan sebarang ketidakselarasan dalam kalangan anggota jika ia memilih Singapura dan bukan negara lain.

"Idea Connect (pautan) baik namun wajar meliputi ASEAN. Kita wajar mencuba model ASEAN.

"Memang elok jika kita boleh memperkenal pelaburan Syariah terutama dalam kalangan jiran-jiran kita seperti Indonesia yang mempunyai pasaran runcit yang besar iaitu kira-kira 10 kali ganda lebih besar daripada Malaysia," katanya kepada pemberita di Pameran Pelaburan Syariah 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata, 76 peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dikelaskan sebagai patuh Syariah.

"Bursa Malaysia mempunyai asas yang mantap untuk terus membangunkan kepelbagaiannya dalam pasaran modal Islam dan memanfaatkan prestasi dan pencapaian yang kukuh untuk mempromosi tawaran Islam sebagai alternatif kepada konvensional.

"Pengurusan kekayaan Islam merupakan bidang pertumbuhan baharu dan menawarkan potensi yang besar memandangkan trend yang kita perhatikan dalam aliran keluar kecairan dari pasaran tradisional kepada pengurusan kekayaan Islam," kata Guan Eng.

Pada akhir April 2018, Malaysia mempunyai aset Islam bernilai RM166.7 bilion dalam pengurusan (AUM), dan antara yang terbesar di dunia. Ia mewakili 21.2 peratus daripada jumlah AUM di negara ini.

Pameran Pelaburan Syariah yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia Bhd bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pelaburan runcit dalam pasaran saham domestik, terutama aset patuh Syariah. - Bernama