Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran tilawah Al-Quran dan hafazan memberikan satu manifestasi bahawa negara kita terus istiqamah dan berusaha untuk melakukan kesinambungan dalam mewujudkan Quranic Society.

"Dalam menterjemah iltizam melahirkan Quranic Society  pelbagai usaha dan penentuan dasar serta pelaksanaan peringkat negeri dan diperingkat akar umbi terus dilaksanakan.

"Antaranya usaha untuk mewujudkan pusat pendidikan seperti sekolah-sekolah tahfiz merupakan satu daripada usaha untuk melahirkan lebih ramai masyarakat Al-Quran di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1439/2018M di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isterinya Datin Seri Fatmawati Saidin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha    

Pada majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan aplikasi Smart Quran yang merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Jakim serta Jabatan Agama Islam Negeri.

Jelas beliau, pembangunan aplikasi tersebut adalah penyelesaian kepada isu lambakan aplikasi Al-Quran yang tidak disemak dan tidak mendapat perakuan daripada Jawatankuasa Penyemak dan Penilai Teks Al-Quran (Lajnah Tasheh Al-Quran, KDN.

Aplikasi Smart Quran itu boleh dimuat turun secara percuma melalui perisian Google Play Store dan Apple Play Store.     

Sementara itu, johan kategori tilawah Al-Quran jatuh kepada Abdullah Fahmi Che [email protected] berasal dari Kelantan dan Suhailah Zulkifly dari Melaka.

Mereka membawa pulang wang tunai RM15,000, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan fardu haji, piala iringan dan sebuah kereta Proton Ertiga.

Bagi kategori menghafaz Al-Quran pula dimenangi oleh Muhammad Amir Ikmal Khairul Anuar dari Selangor dan Siti Nadhira Mohd. Shafie dari Wilayah Persekutuan.

Mereka membawa pulang wang tunai RM15,000, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan fardu haji, piala iringan dan sebuah kereta Perodua Axia. -K! Online