Bagaimanapun kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, pelantikan individu dalam perkhidmatan awam adalah berdasarkan merit kelayakan mengikut Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Kerajaan melantik Menteri Kewangan daripada bukan Melayu yang mana pelantikan dibuat kerana merit dan kredibiliti. Pelantikan peguam negara, ketua hakim negara, ini semua contoh bagaimana kerajaan bergerak untuk mewujudkan keadaan orang bukan Melayu berminat untuk berkhidmat dalam penjawat awam," katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan itu di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Aknan Ehtook berkenaan ketidakseimbangan kaum dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Mohamed Hanipa berkata, berdasarkan statistik SPA bagi tempoh 2015 hingga Jun 2018, kaum Melayu merupakan paling ramai yang berminat dan mendaftar dengan SPA untuk bekerja dalam perkhidmatan awam iaitu sebanyak 79.66 peratus. - Bernama