Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menambah baik akta tersebut bagi mendakwa pemburu haram dengan sewajarnya.

"Kalau dengan mengukuhkan akta, baru penguatkuasaan boleh ditingkatkan dan kita akan buat (pindaan) kerana difahamkan akta yang ada sekarang tidak memudahkan proses penguatkuasaan berlaku.

"Pindaan ini mungkin melibatkan penambahan hukuman denda kepada dua kali ganda daripada sebelum ini tetapi apa saya lihat ada mereka boleh bayar jadi kita juga mesti masukkan hukuman penjara yang dilihat lebih efektif untuk berhadapan isu ini," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Harimau Sedunia anjuran Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia di Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun di sini hari ini. - Bernama