Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya mengkaji semua aspek berkaitan skim tersebut termasuk kadar pemberian pencen.

"Pencen sekarang ini jadi masalah, umpamanya orang yang pencen 20 tahun dulu dapat pencen sebanyak setengah daripada gaji terakhir mereka.

"Gaji terakhir pegawai tinggi dahulu tidak lebih RM6,000 atau RM7,000 dan mereka akan dapat pencen kira-kira RM3,000 sebulan sehingga sekarang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Walau bagaimanapun, kata beliau, penjawat awam pada ketika ini berpendapatan sehingga RM20,000 sebulan dan mereka akan memperoleh pencen sehingga RM10,000 sebulan.

"Yang dulu dapat pencen RM3,000 tetapi pegawai yang bersara pada ketika ini boleh dapat sehingga RM10,000 tetapi pada masa sama kita tahu kos sara hidup juga semakin meningkat," ujarnya.

Kata Mahathir, masalah itu menjadi antara perkara yang menjadi perhatian kerajaan.
"Kita kaji sepanjang masa sebab kita nak jaga kepentingan rakyat," katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan ada membincangkan soal pemansuhan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen, kata beliau, belum ada lagi perbincangan dilakukan berhubung perkara tersebut.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah dilaporkan berkata, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.

Menurut Borhan, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatan kuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion. - K! ONLINE