Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya dipersetujui kadar faedah pinjaman yang kompetitif mesti dipatuhi oleh bank-bank komersial dan arahan akan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kadar faedah (perumahan) yang ditawarkan mestilah sangat kompetitif seperti digariskan oleh BNM, malah kita juga sudah menjalankan kajian perbandingan dengan negaralain di mana (kadar faedah) kita berada di pertengahan antara negara maju dan membangun.

"Jika kadar faedah itu dapat diturunkan, kita dapat mengurangkan beban rakyat terutama pembeli rumah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa TerTinggi Mengenai Isu Perumahan di Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, cadangan tersebut diambil kira berikutan terdapat kira-kira 65.17 peratus atau 13,605 buah rumah yang berharga di bawah julat RM250,000 hingga RM500,000 tidak dapat dijual pada tahun lalu.

"Rumah tersebut tidak dapat dijual disebbakan faktor BLR yang tinggi selain gagal mengemukakan slip gaji bulanan tetap kepada pihak bank.

"Selain itu, cadangan daripada kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan dipertimbangkan untuk dikoordinasi dalam Dasar Perumahan Negara 2.0 agar harga rumah dapat dikurangkan dengan beberapa skema baharu yang dapat memudahkan pemilikan rumah kos sederhana dan rendah," katanya.

Kadar BLR di Malaysia pada masa ini ialah 4.65 peratus manakala di Singapura (1.45 peratus) dan Australia (5.33 peratus).

Mengulas lanjut, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan hala tuju bagi mengatasi isu pengisian dan pengurusan Projek Perumahan Rakyat melalui Penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3P) selain memperkenalkan kaedah sewa untuk milik (Rent To Own).

"Kerajaan prihatin dengan permasalahan yang dihadapi rakyat, maka kami mengambil beberapa langkah proaktif bersama kerajaan negeri untuk menterjemahkan komitmen pihak kerajaan  bagi membantu rakyat dalam soal perumahan.

"Ini termasuklah memperkenalkan skema Rent To Own iaitu sebahagian daripada wang sewa akan dijadikan bayaran pemilikan rumah yang akan mengurangkan beban rakyat," katanya. - K! ONLINE