Beliau berkata, peralihan SPAD kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat tidak lagi memerlukan penglibatan anggota sebagai anggota suruhanjaya. 

"Sebelum ini, pengerusi SPAD juga diberi elaun besar iaitu mencecah RM25,000 hingga RM30,000 setiap bulan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Pembubaran) 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu yang bertujuan membubarkan SPAD yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 714) diluluskan sebulat suara setelah dibaca kali ketiga di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming. 

Sementara itu, Anthony memberi jaminan bahawa kerajaan akan menjaga kebajikan kakitangan SPAD termasuk memberi pampasan pemberhentian kerja kepada mana-mana kakitangan yang terlibat. - Bernama