Beliau berkata, matlamat menyediakan kemudahan jalur lebar sehingga 20 megabait (MB) di kawasan pinggir bandar seluruh negara tetap akan dilaksanakan bagi merapatkan jurang digital di antara bandar dan luar bandar kerana kerajaan mempunyai dana yang mencukupi bagi tujuan itu.

Katanya, soal  bagaimana hendak membina dan menaik taraf jaringan telekomunikasi dan jalur lebar di kawasan terbabit sedangkan kerajaan berdepan hutang dan isu kewangan tidak harus timbul.

"Kerajaan  mempunyai Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP). Syarikat-syarikat telekomunikasi yang menyalurkan sebahagian keuntungan atau dana mereka ke dalam satu tabung (USP) dan ia digunakan bagi program-program dan projek penyambungan jalur lebar di luar bandar. Jadi dana itu ada," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) berkenaan perancangan pihak Kementerian dalam membaik pulih jaringan telekomunikasi kawasan luar bandar agar ia seimbang dengan kawasan bandar. - Bernama