Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu adalah selari dengan usaha kerajaan menggalakkan lagi masyarakat tanpa tunai di Malaysia selain meningkatkan efisien dalam pelbagai sektor khususnya pengangkutan.

“Apabila kita menggunakan perkhidmatan tanpa tunai, ia secara tidak langsung dapat menangani gejala rasuah dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Jika menggunakan perkhidmatan ini, segala transaksi yang dibuat akan direkodkan justeru tidak ada sesiapa boleh menggunakan tunai itu kalau ia tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Penggunaan Sistem Tanpa Tunai KLIA Express di KL Sentral, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Express Rail Link (ERL), Tan Sri Mohd. Naszmi Mohd. Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Noor.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kempen penggunaan sistem tanpa tunai dalam pengangkutan awam akan dilaksanakan berfasa sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

“Besar harapan saya untuk melihat operator pengangkutan yang lain dapat menggunakan sistem tanpa tunai ini.

“Saya difahamkan bahawa Prasarana mempunyai perancangan untuk melancarkan kempen ini untuk perkhidmatan seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan sebagainnya,” katanya.

Terdahulu, pengangkutan ERL telah melancarkan perkhidmatan tanpa tunai untuk meningkatkan kesedaran dalam penggunaan kad tanpa sentuh dan dompet digital mudah alih untuk orang awam dalam menggunakan perkhidmatan kereta api. - K! ONLINE