Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen) Datuk Liew Vui Keong sedang berusaha mencari jalan membantu Pannir Selvam Pranthaman yang dijadualkan menjalani hukuman itu dalam masa tiga hari lagi.

“Tadi saya berbincang dengan Liew dan beliau berusaha bagi pihak Putrajaya (kerajaan) untuk cuba meyakinkan kerajaan Singapura jika rakyat kita ini boleh dielak daripada hukuman mati,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Infaq Perdana Ramadan anjuran Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Muafakat Kampung Tengah, di sini malam ini.

Beliau mengulas permintaan keluarga Pannir hari ini yang memohon campur tangan kerajaan dalam menghentikan hukuman itu dengan alasan Pannir tidak diberi peluang untuk mendapat pengampunan di bawah undang-undang republik itu.

Saifuddin berkata, dalam kes sama sebelum ini, kerajaan mengamalkan pendekatan sama iaitu berusaha membantu mereka yang disabitkan kesalahan dengan memohon hukuman yang lebih ringan.

Ini selaras dengan tindakan Malaysia meletakkan moratorium kepada hukuman mati mandatori.

“Biasanya Putrajaya berusaha, kalau boleh (supaya) mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh (mati) tetapi dikenakan hukuman lebih ringan, misalnya penjara seumur hidup,” katanya.

Ditanya bagaimana Putrajaya boleh mengatasi isu notis pelaksanaan hukuman yang didakwa diberikan dalam tempoh singkat, Saifuddin berkata, tidak banyak yang boleh dilakukan kerajaan Malaysia.

“Ia adalah cara bagaimana Singapura melaksanakan undang-undang mereka. Tidak banyak ruang untuk kita membuat aduan, tapi biasanya apa yang kita buat ialah kita cuba sebaik mungkin untuk membantu rakyat kita,” katanya.

Hari ini, keluarga Pannir melalui kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty, menjadikan kerajaan Malaysia sebagai harapan terakhir mereka untuk menyelamatkan Pannir.

Mereka sudah cuba sedaya upaya menyelamatkan Pannir, termasuk menghantar rayuan terakhir kepada Presiden Singapura, Halimah Yacob.

Pannir, 32, disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Singapura dengan kesalahan itu pada 27 Jun 2017. - Bernama