Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata buat masa ini masih belum ada sebarang keputusan yang tepat berkenaan caj langganan Astro.

"Tetapi percayalah, kerajaan sememangnya mengambil berat dengan jumlah caj yang dikenakan syarikat berkenaan.

"Kita faham dengan bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat dan ini sebahagian daripada perkara-perkara yang kerajaan sentiasa ambil berat untuk pastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan isu-isu sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) di sini hari ini.

Turut hadir Undang Luak Johol Datuk Mohammed Abdullah dan Pegawai Daerah MDKP Wan Syahrul Nizam Saleh.

Dalam perkembangan lain, Eddin Syazlee berkata kerajaan akan mengkaji keperluan untuk mengeluarkan garis panduan yang khusus berkenaan amalan kewartawanan di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, perkara itu penting bagi memastikan wartawan dapat menjalankan tugas mereka dengan sempurna.

"Kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan kebebasan media, dengan syarat kebebasan itu mesti digunakan dalam bentuk yang terkawal dan tidak menimbulkan provokasi yang mungkin menyebabkan antaranya ketidakstabilan politik.

"Saya akan mencadangkan kepada Menteri Gobind Singh Deo untuk memperhalusi cadangan dan pandangan yang bersesuaian dengan keadaan ini," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu diberi maklumat yang tepat dan kandungan yang betul berkenaan apa sebenarnya yang berlaku. - Bernama