Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, hebahan akan dibuat mulai 12 tengah hari hingga pukul 11.59 malam, 5 Julai depan menerusi saluran aplikasi UPUPocket 2.0, laman web dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Menurutnya, surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak UA dan semua calon berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan.

"Tiada lagi rayuan boleh dibuat melalui UPUOnline selepas tarikh hebahan keputusan permohonan rayuan diumumkan.

"Tawaran tempat adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan," katanya di sini hari ini.

KPM berkata, sebanyak 24,683 pemohon lepasan SPM telah mengemukakan permohonan rayuan UPUOnline ke UA.

"Dasar pemilihan rayuan pula adalah untuk mengisi kekosongan tempat selepas tempoh pendaftaran pelajar baharu mengikut program pengajian di UA," katanya.

Sementara itu, KPM memaklumkan, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (BPKP JPT) akan membuka kaunter khidmat runding cara permohonan kemasukan UA, politeknik, kolej komuniti, Institut Latihan dan Kemahiran Awam (ILKA) di bangunan KPM, Presint 5 di sini mulai esok pada pukul 8:30 pagi hingga 4 petang.

Katanya, kaunter itu akan dibuka pada waktu dan hari bekerja sahaja sehingga 2 Julai depan sebagai memudahkan pemohon membuat semakan keputusan permohonan rayuan dan mendapatkan khidmat runding cara.

"Kemudahan hotline di nombor 03-8870 8200 turut disediakan pada waktu dan hari bekerja sahaja untuk membantu menjawab sebarang kemusykilan pemohon," ujarnya.

Semakan status keputusan permohonan rayuan UPUOnline boleh di pautan http://jpt.umt.edu.my; http://jpt.ums.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.utm.my; dan http://jpt.uum.edu.my.

Semakan status permohonan rayuan juga boleh didapati melalui SMS ke 15888 dengan menaip UPU RESULT [NO.KP]. - K! ONLINE