Timbalan Pengarah SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, penambahan pegawai di saluran satu dan dua juga dibuat kerana ia khusus kepada warga emas dan orang kurang upaya untuk mengundi.

“Ini merupakan pe­nam­bahbaikan yang di­­perkenalkan dalam PRK bagi membantu pe­ngundi yang berkerusi roda atau bertongkat supaya ada orang yang boleh membantu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Azmi, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi di 19 pusat pengundian melibatkan 90 saluran.

“SPR juga menjangkakan keputusan PRK Sandakan akan diketahui sebelum 10 malam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun terdapat aduan dan masalah yang timbul sepanjang tempoh berkempen, namun PRK Sandakan dianggap berjalan dengan baik dan patut dicontohi.

Sementara itu, jelas beliau lagi, SPR telah mengagihkan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Saluran Mengundi untuk kegunaan proses pengundian.

Katanya, seramai 39,684 pengundi bakal mengundi di PRK Parlimen Sandakan esok.

PRK itu menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan tiga calon Bebas.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.