Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan juga akan membuat keputusan sama ada bahan radioaktif daripada kilang Lynas di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang perlu dihantar ke negara asal atau sebaliknya.

Beliau berkata, lesen operasi Lynas sepatutnya tamat pada 2 September ini namun pihak Lynas sudah membuat permohonan untuk memperharui lesen itu semalam.

"Mengikut syarat permohonan, Lynas perlu memperbaharui lesen dalam tempoh sebulan sebelum tarikh lesen tamat.

"Mereka (Lynas) telah mengemukakan permohonan itu semalam. Oleh itu, kita tunggu keputusan kabinet nanti, semuanya akan kita umumkan pada 15 Ogos nanti,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Minggu Sains Negara peringkat Selangor di Perpustakaan Awam Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor ( PPAS), Mastura Muhamad.

Bee Yin berkata, beliau akan mengadakan satu dialog dengan Ahli Parlimen berhubung isu kilang Lynas, pada Selasa ini.

"Ada Ahli Parlimen yang bantah kerana benarkan kilang Lynas beroperasi dan juga isu sisa radiokatif. Jadi, kita akan bertemu mereka," katanya.

Dalam pada itu, ditanya berhubung bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas, beliau berkata, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan.

"Saya rasa kerajaan sudah ambil pandangan semua pihak yang menyuarakan kebimbangan dengan isu alam sekitar.

"Namun, apa yang boleh saya katakan keputusan yang dicapai dalam isu kilang Lynas ini adalah keputusan paling ideal dan terbaik," katanya.

Akhbar pada 31 Mei lalu melaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Malaysia akan membenarkan Lynas untuk terus beroperasi di negara ini.

Pengumuman itu menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai AS$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara. - K! ONLINE