Perkara itu dijelaskan oleh Ahmad Safiuddin Ahmad Razak bapa kepada Ainul bahawa tuduhan sebagai ibu bapa yang ‘pentingkan diri sendiri’ kerana mempertaruhkan nyawa anak itu dibuat dalam keadaan begitu sukar.

Menceritakan perkara itu melalui laman sosial Facebooknya pagi ini, Ahmad Safiuddin berkata, sebelum ainul dibedah, doktor yang merawatnya juga tidak pasti sama ada boleh ia dibedah atau tidak walaupun ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) telah dibuat. Kes Ainul ini terlalu rumit.

“Sehari sebelum hari pembedahan berlaku, doktor telah memberitahu tentang risiko-risiko yang sedia menanti seperti, hilang banyak darah, darah masuk paru-paru dan kematian”.

“Ya, bermacam risiko yang Ainul perlu ambil sehingga lah risiko melibatkan kematian tetapi sebagai ibu bapa apa yang kami boleh buat,” soalnya.

Beliau menjelaskan, pilihan yang pihaknya ada adalah melalui pembedahan dan buang sahaja ketumbuhan itu.

“Doktor sedar apabila mahu bedah Ainul yang kecil ini bukan sedikit risikonya, tetapi mereka juga sedar bahawa itu sahaja jalan yang ada. Mahu tak mahu, risiko itu perlu diambil untuk kebaikannya,” ujarnya.

Beliau bersyukur dengan izin Allah pembedahan itu berjaya tanpa sebarang komplikasi dan salur darah utama yang merisaukan doktor juga tidak rosak akibat pembedahan berkenaan.

Ahmad Safiuddin menjelaskan, posting yang dipaparkan itu bukan untuk mengangkat usaha doktor dari luar negara sebaliknya jika diberi peluang pihaknya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada doktor (di Malaysia) yang telah merawat Ainul selama 9 bulan sebelum ini.

“Percayalah, anda semua adalah doktor yang hebat dan anda adalah doktor Ainul Mardhiah yang terbaik kerana sentiasa mahu yang terbaik buat Ainul,” tulisnya lagi.

Sebagai seorang bapa, katanya, dia hanya mahu yang terbaik agar ketumbuhan yang mengganggu kesihatannya anaknya itu tidak akan ada lagi selepas ini.

Harapan kami, mudah mudahan ketumbuhan itu tidak lagi datang menganggu kehidupan puteri sulung kami ini.

Menceritakan lanjut mengenai perjalanan Ainul ke London, Ahmad Saifuddin berkata, keputusan membawa Ainul menjalani rawatan ke luar negara adalah satu risiko yang besar.

“Tahukah anda, 3 hari selepas Ainul tiba di sini, dia terus dimasukkan unit rawatan rapi kerana terkena jangkitan dengan bacaan oksigen dari 100 perats turun ke 50 peratus serta merta”.

“Keputusan imbasan mendapati seluruh tubuh badannya dipenuhi virus bermaksud dalam badannya tidak ada udara kerana telah dipenuhi virus,” terangnya.

Beliau menegaskan, jika ada pihak yang megatakan pihaknya membuat keputusan untuk ke London kerana mengikut hawa nafsu, maka tuduhan itu adalah tidak berasas kerana untuk membawa Ainul ke sini (London) pun satu risiko yang besar buat dirinya.

“Alhamdulillah, seminggu pertama Ainul benar-benar bergelut dengan jangkitan itu dan akhirnya dia berjaya melaluinya,” ujarnya. - K! ONLINE