Baginda bertitah, barisan kepimpinan baharu itu yang mentadbir kerajaan Johor adalah dengan asas dan tujuan yang sama iaitu menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

"Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor yang ke-14 ini melakar satu sejarah kerana pertama kalinya telah berlaku perubahan yang menyeluruh kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri apabila majoriti Ahli Dewan di sini mewakili parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

"Suka beta ingatkan bahawa jawatan yang diberikan itu mempunyai tanggungjawab besar dan mesti dipikul dengan jujur dan amanah," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini sebentar tadi.

Titah baginda, kerajaan PH yang mentadbir negeri ini diingatkan supaya mengekalkan mana-mana program yang baik dilaksanakan pentadbiran dahulu.

"Program-program yang baik perlu ditambah baik dan tidak perlu dihentikan terus selain perlu dibincangkan dengan semua pihak yang terlibat bagi menghasilkan satu pelan tindakan dipersetujui bersama-sama," titahnya. - K! ONLINE