S. Subramaniam
S. Subramaniam

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, dengan adanya konsep perkhidmatan kepakaran berkenaan maka pesakit boleh mendapatkan rawatan dengan kemudahan yang optimum di hospital kluster yang dekat dengan kawasan atau daerah mereka.

Jelasnya, konsep hospital kluster menggabungkan hospital pakar negeri dan hospital daerah menerusi perkongsian sumber kepakaran, peralatan dan fasiliti, seterusnya dapat mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja dan infrastruktur di hospital yang terpilih serta semua hospital kerajaan.

"Dengan adanya konsep seperti ini maka kesesakan di hospital utama dapat dikurangkan. 

"Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kementerian tetapi pesakit juga boleh mendapatkan rawatan kesihatan di kawasan mereka, contohnya di Pahang, kita ada Hospital Temerloh, Hospital Kuala Lipis dan Hospital Jerantut (sebahagian daripada hospital kluster yang  mempunyai tenaga pakar)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sijil kepada penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Seramai 780 warga kerja Kementerian Kesihatan menerima anugerah tersebut yang dinilai berdasarkan prestasi dan kecemerlangan mereka yang dapat dijadikan suntingan semangat kepada kakitangan lain. - K! ONLINE