Namun, ternyata pekan kecil ini mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu sebatang pokok durian berusia 120 tahun yang masih aktif menghasilkan 500 hingga 1,000 biji buah setiap tahun terutama pada bulan Julai hingga Ogos depan.

Menurut seorang peniaga durian, Than Ngui Long, 37, yang mesra dipanggil Along, pokok durian itu merupakan peninggalan moyangnya.

"Tidak sukar untuk menjaganya selain itu suhu sejuk dan berkabus pada awal pagi dan panas semasa tengah hari amat sesuai untuk pokok durian ini terus membesar.

"Ketinggiannya kira-kira 25 meter dan mempunyai 15 dahan yang ada hampir mencecah permukaan tanah.

"Isi buah durian ini pasti membuatkan sesiapa sahaja kecur liur kerana gabungan rasa manis, lemak dan sedikit pahit.

"Uniknya, saiz buah durian ini sederhana besar tetapi namun rasanya berbeza bagi setiap buah," katanya ketika ditemui di Kampung Kaki Bukit di sini hari ini.

Harga buah durian hasil pokok berusia 120 tahun itu dijual pada harga bermula RM10 hingga RM16.

Dalam pada itu, Ngui Long turut menjadi peraih dI ladang-ladang milik penduduk kampungnya.

"Terdapat kira-kira 10 pokok durian yang berusia lebih 100 tahun di Kampung Kaki Bukit.

"Kira-kira 2 tan durian terjual setiap hari dan ada pelanggan yang sanggup datang dari Pulau Pinang semata-mata ingin menikmati durian dari pokok berusia ratusan tahun ini.

"Mungkin kerana rasanya setanding dengan durian jenis Musang King," katanya. - K! ONLINE