Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, langkah itu bagi mengurangkan kesesakan di laluan utama di Lebuh Ayer Keroh apabila dijangkakan jumlah masuk kenderaan di negeri ini mengalami peningkatan mencecah 50,000 sempena Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, pengguna jalan raya dicadangkan untuk menggunakan laluan alternatif pertama melalui Lebuh Ayer Keroh - Jalan Gapam - Jalan Tun Hamzah - Jalan Bukit Katil - Jalan Semabok - Bandar Melaka.

"Pengguna juga boleh menggunakan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) - Jalan Batu Berendam - Jalan Melaka Baru - Jalan Mufti Haji Khalil - Jalan Mata Kucing.

"Laluan alternatif ketiga adalah dari Lebuh Ayer Keroh - Lebuh SPA - Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ - Cheng) - AMJ Melaka Sentral, Jalan Panglima Awang - Jalan Hang Tuah," katanya.

Raja Shahrom ditemui selepas melancarkan Op Selamat ke-15, Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Keselamatan Rumah Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Ayer Keroh di sini semalam.

Menurutnya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati di beberapa lokasi yang kerap berlaku kemalangan termasuk di Melaka Tengah di lampu isyarat Kandang, Bukit Palah, Melaka Sentral, Cheng dan Paya Rumput.

Tambahnya, di Alor Gajah kemalangan sering terjadi di lampu isyarat Durian Tunggal, pekan Durian Tunggal, Jalan Kemas, Jalan Padang Kambing, Jalan Parit Melana, Simpang 3 Padang Kerbau, Taman Kejora dan Jalan Ayer Pasir.

"Bagi mereka yang menggunakan laluan di daerah Jasin, dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila melalui jalan di Taman Pulai Indah, Kampung Ayer Tawar, Kilometer (KM) 29 Jalan Kesang, Jalan Garing, KM 24.5 Kesang-Jasin, Kesang, Tehel, Merlimau dan Serkam," katanya.

Beliau berkata, kes kemalangan jalan raya membabitkan kematian di negeri turut dikesan meningkat apabila sebanyak 88 kes dicatatkan dari tempoh awal Januari hingga 28 Mei lalu. - K! ONLINE