Sekumpulan wanita berusia 40-an telah sedia menunggu kami untuk bergambar kerana mungkin ini pertama kali melihat perempuan Melayu bertudung malah tertarik dengan beberapa rakan yang memakai pakaian baju Me­layu dan berkebaya songket.

Memandangkan mereka tidak boleh berbahasa Inggeris dan cuba untuk berkomunikasi dengan kami, suasana menjadi gamat dengan hilai tawa bersama.

Itu antara kenangan manis yang tercatat dalam memori perjalanan saya dalam majlis perasmian tersebut dan berasa bangga kerana menjadi tetamu kehormat dalam acara gilang-gemilang tersebut.

Mungkin inilah perasaannya apabila secara tidak sengaja menjadi ‘duta ke­cil’ yang membawa imej Malaysia di luar negara.

Meskipun tidak memahami bahasa yang dituturkan sepanjang majlis pe­rasmian tersebut berlangsung tetapi saya gambarkan ia merupakan satu acara besar-besaran yang dianjurkan syarikat.

Projek ini merupakan kilang ke-33 di seluruh China dan syarikat melabur kira-kira 80 juta yuan (RM48.3 juta) untuk projek berkenaan.

Qicheng merupakan kumpulan syarikat yang menyediakan perkhidmatan bersepadu dalam industri prafabrikasi bagi kediaman rumah setingkat selain menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan seperti kajian dan pembangunan, pengeluaran bahagian aksesori, struktur dan komponen dan dinding panel.

Lebih menarik, syarikat bercadang untuk melabur 10 juta yuan (RM6 juta) bagi projek pembukaan kilang pengeluaran prafabrikasi di Iskandar Puteri, Johor menjelang akhir tahun ini untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran bagi rantau Asia Tenggara.

Sebelum majlis tersebut, kami dilayan seperti orang kenamaan sebaik sahaja tiba di wilayah berkenaan yang mana perjalanan lebih daripada tiga jam dari lapangan terbang terus membawa kami bersarapan di sebuah restoran halal menjual mi tarik.

Ketika itu jam menunjukkan pukul 5.45 pagi dan dalam suasana sejuk di bawah 10 darjah Celsius.

Ketika itu saya dan rakan lain masih rasa mengantuk dan letih, namun dalam serba kebingungan itu kami dihidangkan dengan semangkuk besar mi tarik panas yang menyelerakan.

Kemudian kami dibawa ke hotel untuk berehat namun diingatkan untuk turun ke lobi hotel sejam selepas itu sebelum bertolak ke sebuah hotel lain yang menghidangkan makanan halal untuk bersarapan pagi.

Menurut wakil syarikat Qicheng, tuan rumah suka melayan tetamu yang datang berkunjung ke daerah mereka.

Tuan rumah akan sentiasa memastikan tetamu berasa kenyang serta gembira menikmati makanan yang dihidang­kan.

Memang benar tekaan kami, wakil syarikat itu telah membuat tempahan menu sarapan pagi yang cukup mewah buat kami yang masih kekenyangan menikmati mi tarik sebelum itu.

Itu belum kira hidangan makanan tengah hari dan makan malam yang cukup menyelerakan.

Segalanya berasaskan makanan sihat yang terdiri daripada sayur-sayuran segar, buah-buahan, ikan, daging kam­bing termasuk makanan kegemaran kami seperti cakoi serta puree tanpa hidangan nasi.

Selain itu, jadual perjalanan wakil media sebelum acara tersebut berlangsung, turut diselitkan dengan lawatan ke sebuah ladang epal terbesar di wilayah berkenaan.

Saya sangat teruja sebaik tiba di ladang epal seluas 4.4 hektar itu ke­rana saiz ladangnya yang seluas mata memandang itu merupakan antara pengeks­port utama buah epal ke pasaran dunia termasuk Asia Tenggara, Eropah dan Asia Timur.

Buah epal itu terdiri daripada jenama Gala dan Fuji yang mana epal Fuji tidak diminati masyarakat dari Eropah tetapi sebaliknya menjadi kegemaran buat pelanggan dari Asia Tenggara.

Menurut wakil syarikat pengeluar epal berkenaan, proses tuaiannya dibuat pada bulan Oktober dan setiap pokok boleh menghasilkan antara 80 biji hingga 120 biji epal untuk sekali musim.

Sambil mendengar taklimat me­ngenai pengeluaran di ladang tersebut kami berpeluang menikmati buah epal segar yang rangup dan manis yang mana ia merupakan buah epal terbaik yang pernah saya rasai sebelum ini.

Apa yang menarik mengenai projek ladang terbesar ini, ia turut melibatkan pelaburan daripada penduduk tempatan dengan memegang 40 peratus ekuiti dalam syarikat manakala bakinya dimiliki oleh syarikat utama.

Melalui tawaran peluang pelaburan tersebut, saya berkeyakinan ia memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk berkongsi rezeki daripada projek tersebut dengan memperoleh hasil dividen yang diumumkan oleh syarikat dalam tempoh yang ditetapkan.

Alangkah baiknya jika konsep tersebut diperkenalkan di Malaysia yang mana syarikat korporat berminat untuk membangunkan projek mega di kawasan luar bandar dan seterusnya menggalakkan penduduk tempatan melabur dalam sejumlah ekuiti yang diperuntukkan.

Ini bukan sahaja dapat menjamin pendapatan mereka untuk jangka masa panjang tetapi dapat juga memberi manfaat dari segi pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan selain penawaran kerja kepada penduduk.